24 Agensi Buka Operasi Sehingga 10.00 Malam


Pusat Transformasi Bandar (UTC) kesebelas akan mula beroperasi sepenuhnya Julai ini di bangunan Paya Bunga (PB) Square, Kuala Terengganu.

Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ A Rahman Yahya berkata, proses pengubahsuaian bangunan tersebut kini sedang giat dijalankan.

Beliau berkata, melihat pada kemajuan terbaru, pengubahsuaian tersebut akan siap lebih awal daripada perancangan yang telah ditetapkan.

A Rahman berkata, dengan kos yang diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebanyak RM49.7 juta, pelbagai agensi akan ditempatkan bagi memudahkan rakyat untuk berurusan selepas waktu bekerja.

“Sebanyak 24 agensi termasuk dari persekutuan dan negeri akan ditempatkan di UTC ini antaranya, Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Tabung Haji, Indah Water, Yayasan Pembangunan Keluarga, Jabatan Imigresen Malaysia, Klinik 1 Malaysia dan banyak lagi.

“Jika diikutkan, UTC akan beroperasi bermula pukul 8.30 pagi sehingga 10 malam. Jadi, ianya akan memudahkan sesiapa yang ingin berurusan selepas tamat waktu bekerja,” katanya.


No comments

Powered by Blogger.