#PAU2014 :Kita ada konsep toleransi, wasatiyyah, moderation (kesederhanaan)

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 5,739 anggota perwakilan Umno dari seluruh negara akan menghadiri perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula Selasa depan.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,763 akan menghadiri perhimpunan agung, manakala 993 anggota perwakilan menghadiri perhimpunan Pemuda, Wanita (992 anggota) dan Puteri (991 anggota).

Katanya, sebanyak 95 wakil asing yang mewakili 27 parti dari 19 negara juga telah mengesahkan kehadiran ke persidangan parti itu kali ini.

"Sebanyak 84 anggota perwakilan dari 77 Kelab Umno Luar Negara dan tujuh Badan Perhubungan Negara juga akan hadir," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 70 peserta Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) IV dan 13 peserta Felo Perdana akan turut menghadiri perhimpunan sebagai Sukarelawan Mahasiswa yang berlangsung di PWTC sehingga 29 Nov ini.

UMNO-PERWAKILAN 2 KUALA LUMPUR

Tengku Adnan berkata, para perwakilan yang dilantik sebagai pembentang dan pembahas usul juga diingatkan supaya mematuhi arahan dan peraturan yang
ditetapkan.
       
"Saya ingin mengingatkan pembentang supaya mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar tidak menyentuh masalah peribadi, isu-isu sensitif termasuknperkauman," katanya.
       
Beliau turut memaklumkan sebanyak 1,452 petugas media dari 106 agensi media tempatan dan antarabangsa, media baharu termasuk blogger serta portal berita dalam talian akan membuat liputan sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu.
   
Katanya, sempena perhimpunan agung itu juga, pelbagai program sampingan turut diadakan yang dimulakan dengan Forum Antarabangsa 2014 bertemakan 'Hyper Connected World Challenges in Nation Building' pada 24 dan 25 Nov ini.
       
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan ucap tama pada forum itu manakala Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadual merasmikan majlis penutup forum itu.
       

UMNO-PERWAKILAN 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Tengku Adnan berkata perhimpunan kali ini akan memberi penekanan kepada usaha memajukan negara secara bersama oleh semua kaum.
       
"Kita telah dididik oleh nenek moyang kita pengasas Umno bahawa kita mesti bersama dengan kaum-kaum lain di Malaysia...walaupun bila disebut, memang Umno ini parti Melayu, teras Melayu tetapi kita dididik cara seperti itu. Kita ada konsep toleransi, wasatiyyah, moderation (kesederhanaan)," katanya.
       
Beliau turut menegaskan bangsa Melayu tidak perlu merasa gelisah walaupun sokongan kaum lain terhadap kerajaan dilihat sedikit menurun berdasarkan keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas.
       
"Ada sebab-sebab tertentu yang bangsa lain tidak sokong. Kita kena buat penambahbaikan. Jadi yang kita mahu tekankan bahawa, jangan gelisah kerana kita percaya bahawa kaum lain masih melihat Umno sebagai tunjang untuk memastikan negara ini terus dalam keamanan, bergerak ke hadapan dan terus menjadi maju,"katanya.

No comments

Powered by Blogger.