Pengerusi JKKK Yang Tidak Memenuhi KPI Akan Di Tamat Disember Ini
Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah sedang menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) lebih 1,000 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini sama ada boleh membantu kerajaan atau sebaliknya.
Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A. Latiff Awang, berkata setiap pengerusi JKKK yang dilantik awal April lalu mempunyai tempoh setahun bagi mempamerkan prestasi masing-masing.
“Sekiranya gagal memenuhi atau mencapai KPI yang ditetapkan, mereka bakal berdepan ditamatkan perkhidmatan.
“Mereka yang tidak mampu memikul tanggungjawab di peringkat akar umbi, sudah pasti menimbulkan rungutan rakyat sekali gus menjejaskan imej kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Latihan Pengendali Makanan 2014 di Prinzpark Resort, Kuala Terengganu, hari ini.
Seramai 30 peserta menyertai kursus bagi mendapatkan sijil pengendali makanan yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia anjuran Kolej Tesdec.
A. Latiff turut memberitahu setakat ini, kerajaan masih berpuashati dengan gerak kerja hampir keseluruhan JKKK di mana mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawab.
“Prestasi kerja mereka semakin baik, tiada lagi laporan buruk yang menyatakan terlibat dalam kes jenayah, rasuah atau kes tertentu.
“Kerajaan yakin mereka mampu mengekalkan prestasi baik itu, apatah lagi apabila mengetahui KPI mereka dinilai,” katanya.
Katanya, seboleh-bolehnya kerajaan tidak mahu mengambil tindakan melulu dengan mengenakan tindakan tertetnu terhadap pengerusi JKKK bermasalah..
“Kerajaan pastinya terlebih dahulu memberi mereka peluang di samping menyarankan menyertai kurusus tertentu supaya boleh berubah,” katanya.
No comments